Kisah bermula ketika Tok Kedot belayar meninggalkan Tanah Sumatera menuju ke Tanah Melayu. Perjalanan beliau diiringi oleh Isteri, Tok Andak dan anak perempuannya. Turut bersama adalah sebahagian saudara mara dan para pengikutnya. Berpandukan Gunung Ledang, mereka sampai ke Muar. Dari Kuala Sungai Muar mereka berkayuh ke hulu sehinggalah sampai ke Negeri Sembilan.

NAMA JEMENTAH

Mereka menetap seketika di Negeri Sembilan sebelum mendapat maklum bahawa terdapat suatu kawasan yang sangat bermasalah untuk dibuka sebagai kawasan penempatan. Mereka kata, 'penjaga' tempat itu terlalu kuat. Apa yang mereka tebang di pagi hari akan tegak kembali seperti sediakala petang hari yang sama. Begitulah seterusnya, sehingga ungkapan "jemu, jemu, jemu', entah bila nak siap jika keadaan terus begini". Dari ungkapan 'jemu entah' tersebutlah kononnya Jementah mendapat nama.

Lalu terujalah Tok Kedot untuk mencuba ilmu dan kebolehannya di Jementah. Bertolaklah Tok Kedot dan rombongannya; menghilir Sungai Muar sehingga ke sampai Kuala Sungai Jementah. Dari Kuala Sungai Jementah mereka memudiki Sungai Jementah dan berhenti rehat berhampiran Kuala Sungai Penarah yang letaknya tidak terlalu jauh dari Kuala Sungai Jementah. Lalu mengambil keputusan untuk  menetap seketika di situ.

BUKIT SATU

Dengan ilmu yang beliau ada, Tok Kedot dapati kawasan tersebut sesuai untuk dijadikan kawasan penempatan. Lalu bermulalah kerja-kerja penebangan dan pembersihan kawasan yang masih belum bernama itu. Beberapa hari selepas kawasan tersebut dibuka, hujan lebat telah turun, lalu naiklah air Sungai Jementah sehingga menghampiri paras tebing.

Melihat keadaan itu, demi keselamatan ahli keluarganya' Tok Kedot membawa kesemua mereka berpindah ke kawasan yang lebih tinggi tidak jauh dari Sungai Jementah dan tidak jauh dari kawasan yang telah mereka bersihkan sebelumnya. Dengan segera mereka bergerak menuju ke Bukit Cerebon. Dalam perjalanan, mereka melihat air sungai telah melimpah melepasi tebing. Lalu banjirlah kawasan tersebut.

Hampir keseluruhan kawasan hutan yang dibersihkan ditenggelami air kecuali sebahagian tanah yang membukit di tengah kawasan banjir tersebut. Nampaknya seperti pulau di tengah lautan. Melihat situasi itulah, Tok Kedot menamakan kawasan yang membukit itu sebagai Bukit Satu dan kawasan yang telah dibersihkan untuk penempatan itu di beri nama Kampung Bukit Satu.

TOK EMPANG

Setelah banjir reda, Tok Kedot dan yang lain-lain kembalilah ke Kampung Bukit Satu, membina penempatan dan memulakan kerja-kerja pertanian. Kawasan paya berhampiran Sungai Jementah sesuai ditanam padi. Setelah kawasan tanaman padi dicangkul, ia perlu diairi. Lalu mereka berpendapat, perlu dibina empangan di Sungai Jementah. Adalah satu kerja yang sukar untuk menahan air sungai yang deras. Lalu untuk memudahkan kerja-kerja pembinaan empangan, Tok Kedot telah menggunakan ilmunya dan berbaring melintang Sungai Jementah. Sebaik Tok Kedot berbaring, air sungai terhenti dan dalam masa yang sama orang-orangnya berjaya menyiapkan empangan untuk mengairi sawah padi mereka.

Dari kejadian mengempang sungai itulah, Tok Kedot mendapat nama baru iaitu Tok Empang dan nama tersebut kekal jadi sebutan sehingga kini.

Berbulan jugalah Tok Kedot dan orang-orangnya membangunkan Kampung Bukit Satu tersebut. Hasil pertaniannya juga tidak mendukacitakan. Dalam tempoh berbulan itu jugalah ramai pawang hebat telah cuba menundukkan 'penjaga' kawasan Jementah. Antaranya adalah Tok Sagor. Semuanya kecundang.

Selepas tempoh berbulan itu jugalah Tok Andak melahirkan seorang anak lelaki.

Selepas pawang ke enam gagal menundukkan 'penjaga' kawasan Jementah, Tok Kedot memulakan langkahnya. Setelah segala usaha dibuat sebaik mungkin, berjayalah Tok Kedot 'berunding' dengan 'penjaga' kawasan Jementah. Pokok yang ditebang di waktu pagi tidak tegak lagi di waktu petangnya.

Malamnya, Tok Kedot bermalam di Jementah. Dalam tidurnya Tok Kedot bermimpi didatangi seorang tua. Orang tua di dalam mimpinya itu memberitahu bahawa Tok Kedot dibenarkan untuk terus membuka kawasan Jementah ini dengan 'satu perjanjian sebagai saudara'. Mereka akan 'menjaga' anak lelaki Tok Kedot yang ditinggalkan bersama Tok Andak di Kampung Bukit Satu sebagai galang ganti.

Keesokan harinya, sebaik tersedar dari tidur, Tok Kedot teringat akan mimpinya malam tadi. Lalu segeralah beliau teringat akan anak lelakinya yang baru dilahirkan itu. Bimbang akan mimpi itu jadi kenyataan dan demi keselamatan anak lelaki dan ahli keluarganya; Tok Kedot bersegera kembali ke Kampung Bukit Satu.

Sesampai di kampung, Tok Kedot segera mendapatkan anak lelakinya tetapi dikejutkan dengan suara tangisan & rintihan Tok Andak. Tok Andak mengadu bahawa anak lelaki mereka telah hilang secara tiba-tiba dari buaian. Fahamlah Tok Kedot akan kata orang tua dari mimpinya itu akan maksud 'mereka akan menjaga anak lelakinya' itu.

Walau hati dan perasaan Tok Kedot tercalar dengan kehilangan anak lelakinya, beliau tetap meneruskan kerja-kerja pembukaan lebih banyak lagi kawasan di Jementah.

* * * * *

HARIMAU TOK EMPANG

Dari cerita dan pengkisahan dari mulut ke mulut, Tok Kedot dipercayai ada memelihara seekor harimau jadian. Ia dikenali sebagai Harimau Tok Empang. Harimau jadian tersebut ditugaskan untuk menjaga kawasan Jementah. Dikatakan bahawa sebelum Jementah ditimpa sebarang bencana, akan kedengaran suara harimau tersebut mengaum.

Menurut cerita Hj Yaseh bin Derin, bekas Imam Masjid Kampung Bukit Tunggal, Jementah; untuk mengenal pasti Harimau Tok Empang, boleh dilihat pada kesan tapak kaki sebelah kanan bahagian belakang harimau tersebut. Jika terdapat pertindihan kesan tapak kaki sebelah kanan bayi atau anak kecil; maka sahlah itu Harimau Tok Empang. Tapak kaki kanak-kanak atau bayi itu dikatakan adalah milik anak Tok Kedot yang hilang itu.

TOK ANDAK

Tok Andak mempunyai kepakaran atau ilmu menyembuhkan seseorang yang tercekik tulang menggunakan daun mengkudu. Pusara Tok Andak berada tidak jauh dari Makam Tok Kedot. Pusaranya tidak bernesan, hanya ditandakan dengan sebatang pokok mengkudu di atasnya.

MAKAM TOK EMPANG

Makam Tok Empang terletak di Kampung Bukit Tunggal, Jementah. Lokasinya adalah bersebelahan Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tunggal; dalam kawasan tanah persendirian. Makam ini dulu dijaga dengan baik oleh warisnya. Nisannya dibungkus dengan kain kuning. Ada binaan tembok dan berbumbung, sumbangan Haji Othman bin Abdullah. Tetapi selepas terdapat tanda-tanda makam ini dijadikan tempat penyembahan dan aktiviti khurafat, binaan bumbung tersebut dirobohkan.

Berdasarkan peta kajian topo tahun 1938 hingga 1939 dan cetakan peta tahun 1960 (rujuk potongan peta di bawah) , lokasi asal Makam Tok Empang adalah di tepi Sungai Jementah (kawasan dalam bulatan A) tidak jauh dari kaki Bukit Cerebon. Manakala lokasi sekarang adalah di kawasan bertanda 'B'. Bagaimana keadaan ini berlaku? Apa sebabnya? Rujuk: Alihkan Makam Ke Tempat Lain?

peta lama bukit satu
C - Lokasi Bukit Satu iaitu tanah berbukit yang tidak ditenggelami air banjir.
D - Kuala Sungai Penarah